KOTA KINABALU, 22 Julai 2026 – Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2026 (MUZAKARAH2026) memasuki edisi ke-20 dengan menghimpunkan pengawal selia, penasihat Syariah, ahli akademik, penyelidik, institusi kewangan dan pengamal industri dari enam negara Nusantara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan Filipina.
Bertemakan “Memperkasa Pematuhan Syariah Dalam Sistem Kewangan Islam”, program anjuran ISRA Institute, INCEIF University dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjadi platform untuk membincangkan isu Syariah semasa serta merumuskan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi industri kewangan Islam.
Penganjuran tahun ini turut didahului program Advanced Training on Shariah Non-Compliance: Rectification and Purification, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, kaedah rektifikasi dan penyucian dalam menangani isu ketidakpatuhan Syariah di institusi kewangan Islam.
Majlis perasmian MUZAKARAH2026 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang menyifatkan penganjuran kali ke-20 itu sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh wacana dan kerjasama kewangan Islam di rantau Nusantara.
“Penyertaan dari pelbagai negara bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama serantau, malah mencerminkan iltizam bersama untuk memajukan ekosistem kewangan Islam yang lebih kukuh, progresif, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.”
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan teknologi dan landskap ekonomi global menuntut industri kewangan Islam untuk bergerak melangkaui pendekatan pematuhan semata-mata.
“Dalam dunia yang berubah pantas melalui kecerdasan buatan, aset digital, kewangan mampan dan ekonomi berasaskan data, Syariah tidak boleh sekadar menjadi mekanisme pematuhan, sebaliknya mesti tampil sebagai sumber inovasi, penyelesaian dan rahmat kepada manusia sejagat.”
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Azmi Omar berkata, tema MUZAKARAH2026 mencerminkan komitmen berterusan ISRA Institute dan INCEIF University untuk memastikan prinsip Syariah kekal menjadi tunjang pembangunan industri kewangan Islam.
“Dalam era yang penuh dengan cabaran dan dinamika perubahan, semua pemegang taruh perlu sentiasa meneroka inisiatif baharu, di samping menambah baik proses dan produk sedia ada agar terus selari dengan prinsip Syariah. Inilah komitmen yang ingin diperkukuhkan melalui MUZAKARAH2026.”
MUZAKARAH bermula sebagai inisiatif Bank Negara Malaysia pada 2006, dengan perbincangan awal berkaitan bayʿ al-ʿīnah dan tawarruq. Selepas penubuhan ISRA oleh Bank Negara Malaysia pada 2008, penganjurannya diteruskan oleh ISRA dan kini menjadi antara platform rujukan utama bagi pembangunan ilmu, tadbir urus dan pematuhan Syariah di rantau Nusantara.
MUZAKARAH2026 berlangsung pada 21 hingga 22 Julai 2026 di Hilton Kota Kinabalu, Sabah, selepas program latihan eksekutif pada 20 Julai. Penganjuran edisi ke-20 ini dijangka terus memperkukuh jaringan serantau dan menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.



