Multaqa SIDR 2026 Perkukuh Ekosistem Kewangan Sosial Islam, Tegas Keperluan “The Third Force”

Kuala Lumpur, 12 Ogos – MULTAQA SIDR Kewangan Sosial Islam 2026 (MULTAQA2026) menegaskan keperluan untuk memperluas peranan zakat, wakaf dan instrumen kewangan sosial Islam daripada mekanisme bantuan kepada satu kuasa pelengkap, atau “The Third Force”, yang menyokong usaha kerajaan dan sektor swasta dalam menangani cabaran sosioekonomi negara.

Mesej itu ditegaskan oleh YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika merasmikan MULTAQA2026 hari ini. Beliau berkata, dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan jurang pendapatan, Kewangan Sosial Islam perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam membina kesejahteraan serta daya tahan masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan Kewangan Sosial Islam perlu bergerak daripada bantuan yang bersifat konsumtif kepada pemberdayaan yang produktif, dengan kejayaan institusi zakat dan wakaf tidak lagi dinilai berdasarkan jumlah kutipan atau bilangan penerima semata-mata, tetapi sejauh mana dana yang diamanahkan mampu meningkatkan taraf hidup, membina daya tahan keluarga dan membantu penerima keluar daripada kitaran kemiskinan.

Beliau turut menekankan kepentingan pengukuran impak termasuk melalui pendekatan Social Return on Investment (SROI) bagi memastikan setiap inisiatif Kewangan Sosial Islam menghasilkan perubahan yang nyata dan berkekalan kepada masyarakat.

YB Senator Dr Zulkifli berkata Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk menjadi peneraju Kewangan Sosial Islam dengan sokongan institusi yang mantap, ekosistem kewangan Islam yang matang, universiti bertaraf dunia serta kepakaran Syariah yang diiktiraf. Keupayaan ini, katanya, perlu diperkukuh melalui tadbir urus yang baik, teknologi dan pendigitalan, inovasi instrumen serta kerjasama rentas institusi.

Majlis Perasmian MULTAQA2026 turut dihadiri dan disertai oleh Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Pengerusi PPZ-MAIWP; Dr Marjan Muhammad, Timbalan Presiden Penyelidikan, ISRA Institute, INCEIF University; serta Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohd Azmi Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University.

Dalam ucapannya, Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohd Azmi menegaskan bahawa pembangunan Kewangan Sosial Islam perlu dipacu oleh tiga elemen utama, iaitu ilmu, kerjasama dan impak. Menurut beliau, setiap dasar dan inovasi perlu berasaskan penyelidikan berkualiti, analisis berasaskan bukti serta kefahaman Syariah yang mendalam, manakala institusi akademik, Majlis Agama Islam Negeri, institusi zakat dan wakaf, pengawal selia, industri serta pembuat dasar perlu bergerak sebagai satu ekosistem.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sebenar Kewangan Sosial Islam perlu diterjemahkan melalui perubahan dalam kehidupan masyarakat termasuk apabila lebih ramai penerima dapat keluar daripada kitaran kemiskinan, komuniti menjadi lebih berdaya tahan dan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih inklusif dan lestari.

Laporan Kewangan Sosial Islam Malaysia dilancarkan

Majlis Perasmian turut menyaksikan pelancaran laporan “Current Landscape and Strategic Directions for Islamic Social Finance in Malaysia” oleh YB Senator Dr Zulkifli Hasan.

Laporan tersebut menghimpunkan perkembangan, pencapaian dan dapatan berkaitan landskap Kewangan Sosial Islam di Malaysia serta menyediakan rujukan kepada pembuat dasar, institusi, penyelidik dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh hala tuju sektor tersebut.

Pelancaran laporan ini turut mencerminkan aspirasi MULTAQA2026 untuk memastikan hasil penyelidikan dan wacana ilmiah dapat diterjemahkan kepada dasar, amalan terbaik dan penyelesaian yang boleh dilaksanakan di lapangan. YB Senator Dr Zulkifli turut menyuarakan harapan agar MULTAQA SIDR berkembang sebagai platform serantau yang menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia hab rujukan Kewangan Sosial Islam di peringkat serantau dan antarabangsa.

Bertemakan “Memperkukuh Aplikasi Syariah dalam Kewangan Sosial Islam”, MULTAQA2026 turut menampilkan barisan pemimpin institusi, sarjana, ahli Syariah dan pengamal industri terkemuka, antaranya Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP; Sheikh Profesor Dr Fadhl Abdullah Murad, Penolong Setiausaha Agung dan Ketua Fatwa Kesatuan Ulama’ Islam Antarabangsa, Qatar; Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Dato’ Anas Ahmad Zakie, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara; serta Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya.

Turut terlibat ialah Tuan Guru Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Pengerusi Yayasan Pondok Sungai Durian; Dr Zaharuddin Abd Rahman, Penasihat Shariah, KWSP Simpanan Shariah; Profesor Dr Amir Shaharuddin, Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam (CoEISF), INCEIF University; Dr Nur Harena Redzuan, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Felo Penyelidik Kanan, CoEISF, INCEIF University; serta Haji Ahmad Husni Dato’ Haji Abd Rahman, Pengurus Kanan, Unit Syariah dan Antarabangsa, PPZ-MAIWP.

MULTAQA2026 yang berlangsung selama dua hari didahului dengan Latihan Eksekutif pada hari pertama, sebuah program intensif yang direka untuk pengamal industri, pengawal selia, ahli akademik serta pengurus institusi zakat dan wakaf bagi memperkukuh kefahaman praktikal dan kemahiran strategik dalam Kewangan Sosial Islam.

Melalui penggabungan wacana Syariah, penyelidikan, kepakaran institusi dan pengalaman industri, MULTAQA2026 membawa agenda Kewangan Sosial Islam ke arah peranan yang lebih strategik, bukan hanya sebagai mekanisme bantuan, tetapi sebagai instrumen pemberdayaan masyarakat, pembangunan sosioekonomi dan pelengkap kepada usaha kerajaan serta sektor swasta.

 

– TAMAT –